Isi Kandungan
Belanjawan 2025 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia membawa harapan baru dan janji untuk memperkukuhkan kedudukan Islam dalam masyarakat.
Dengan pelbagai peruntukan yang diumumkan sebentar tadi, kerajaan dengan jelas menunjukkan komitmen untuk memastikan kedudukan agama Islam terus subur dan kukuh di Malaysia.
Artikel ini akan menghuraikan dan menjelaskan beberapa inisiatif utama dalam belanjawan ini yang memberi tumpuan kepada pendidikan, kebajikan, dan pembangunan ekonomi berasaskan nilai Islam.
Peruntukan Hal Ehwal Islam
Kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM2 bilion khas untuk hal ehwal Islam, yang secara langsung mencerminkan keazaman kerajaan untuk memperkukuhkan institusi dan program-program yang berkaitan dengan agama Islam di negara ini.
Peruntukan yang besar ini mencakupi pelbagai inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan umat Islam di Malaysia.
Pendidikan Islam
Salah satu aspek yang paling penting dalam Belanjawan 2025 ini adalah pengukuhan bidang pendidikan Islam.
Sebanyak RM150 juta telah diperuntukkan khusus untuk menyelenggara prasarana Institusi Pengajian Islam di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Ini termasuk sekolah pondok, sekolah tahfiz, dan sekolah agama rakyat yang merupakan institusi penting dalam mendidik generasi muda tentang ajaran agama Islam.
Ini merupakan salah satu bentuk pelaburan negara di mana ini langkah ini adalah untuk memastikan pendidikan agama yang berkualiti dapat diakses oleh semua lapisan masyarakat.
Selain itu, penambahan kuota guru KAFA sebanyak 1,500 orang adalah satu usaha yang sangat relevan dengan tuntutan pendidikan fardu ain.
Ini menunjukkan bahawa kerajaan mengiktiraf pentingnya pendidikan agama Islam dalam membentuk sahsiah dan akhlak generasi akan datang.
Dengan adanya lebih ramai guru yang terlatih, tentulah proses pembelajaran akan menjadi lebih berkualiti dan berkesan.
Elaun Kepada Pelajar
Dalam usaha untuk memberi sokongan kepada pelajar di Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS), Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS), dan Darul Quran JAKIM, kerajaan bersetuju untuk meningkatkan kadar wang saku penuntut sebanyak RM100.
Ini adalah langkah yang penting demi meringankan beban kewangan pelajar dan membolehkan mereka menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pengajian mereka tanpa tekanan kewangan.
SEDANG TRENDING 🔥 : Jawatan Kosong SPP Pegawai Pendidikan Gred 41 Ambilan Oktober 2024
Inisiatif Wakaf dan Percetakan Al-Quran
Satu lagi penting yang menonjol di dalam Belanjawan 2025 adalah ikhtiar wakaf Al-Quran, di mana kerajaan merancang untuk mencetak sejuta naskhah Al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia dengan terjemahan dalam pelbagai bahasa.
Ini bukan sahaja akan meluaskan jangkauan ajaran Islam tetapi juga meningkatkan pemahaman masyarakat global terhadap nilai-nilai murni Islam.
Usaha ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk menjadi duta kepada ajaran Islam di mata dunia.
Pelepasan Cukai dan Sumbangan kepada Guru
Kerajaan juga telah memperluaskan skop pelepasan cukai untuk badan amal di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan, termasuk sumbangan kepada bukan warganegara yang terjejas.
Ini juga salah satu bukti yang menunjukkan keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap isu kemanusiaan dan solidariti tanpa mengira latar belakang kewarganegaraan.
Sumbangan khas sebanyak RM500 kepada 70,000 orang guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja, dan marbut dengan peruntukan sebanyak RM35 juta adalah satu pengiktirafan terhadap sumbangan penting mereka dalam masyarakat.
Sumbangan ini salah satu langkah kerajaan untuk membantu meningkatkan taraf hidup mereka dan memastikan bahawa mereka dapat terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.
Industri Halal dan Pembangunan Ekonomi Islam
Dalam konteks pensijilan halal di negara ini, kerajaan berjanji untuk mempercepatkan proses pengeluaran sijil halal dengan menambah jumlah juruaudit halal JAKIM sebanyak 100 orang.
Ini adalah langkah proaktif untuk memastikan produk yang dipasarkan di Malaysia adalah patuh syariah.
Di samping itu, sistem MYeHALAL yang ditambah baik akan memusatkan 20 agensi kerajaan dan 100 badan pensijilan halal luar negara di bawah satu platform.
Secara langsung usaha ini akan memudahkan laig proses dan meningkatkan standard dan mutu pensijilan halal di Malaysia.
Pembangunan Tanah Wakaf dan Dana
Melalui belanjawan 2025, Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) telah menyediakan RM300 juta untuk meningkatkan pembangunan tanah wakaf bagi membina rumah persaraan mandiri untuk warga emas berpendapatan rendah.
Ini adalah inisiatif penting yang menunjukkan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan golongan tua yang sering kali terpinggir.
Sementara itu, UDA dengan dana RM200 juta akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan rumah mampu milik di tanah wakaf.
Ini adalah usaha untuk memastikan setiap lapisan masyarakat, terutamanya golongan berpendapatan rendah, mempunyai akses kepada tempat tinggal yang selesa.
Inovasi Pembiayaan Kewangan Islam
Kerajaan juga telah menyediakan RM100 juta dana padanan untuk menggalakkan inovasi dalam pembiayaan kewangan Islam yang berasaskan nilai Islam.
Ini adalah langkah penting untuk mengurangkan kebergantungan kepada produk patuh syariah konvensional yang tidak sepenuhnya mencerminkan prinsip syariah.
Program i-TEKAD dengan geran padanan RM20 juta dalam Belanjawan 2025 adalah untuk usahawan mikro menunjukkan komitmen kerajaan dalam menyokong usahawan dalam insurans atau takaful.
Ini adalah inisiatif yang berpotensi untuk membantu usahawan dalam mengurus risiko perniagaan mereka.
Belanjawan 2025 Kesejahteraan Islam Terjaga
Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan kedudukan Islam di negara ini.
Pelbagai inisiatif yang diambil dalam bidang pendidikan, kebajikan, dan pembangunan ekonomi menunjukkan bahawa kerajaan berusaha untuk menjadikan Islam sebagai teras dalam pembangunan sosial dan ekonomi negara.
Dengan peruntukan yang besar dan pelbagai program yang dirancang dalam belanjawan 2025, Malaysia sedang berada di landasan yang tepat untuk memastikan Islam terus kukuh dalam masyarakat.